Back To All

Nov 21, 2025 6PM

Funding Societies bantu Faco Pastry atasi cabaran aliran tunai

author

NADIA AZAM

WAWANCARA| Faco Pastry, sebuah perniagaan pastri tempatan yang sedang berkembang pesat mengakui pembiayaan rakan setara (peer-to-peer atau P2P) melalui platform Funding Societies menjadi pemangkin utama dalam mengukuhkan aliran tunai serta meningkatkan kapasiti operasi syarikat.


Funding Societies Malaysia ialah sebuah platform pembiayaan digital yang menawarkan penyelesaian pembiayaan bagi perniagaan kecil dan sederhana. Sebagai salah satu fintech terkemuka di negara ini, syarikat itu memfokuskan kepada inovasi kewangan, akses pembiayaan mudah serta kerjasama untuk memajukan perniagaan kecil dan sederhana.


Pembiayaan P2P di Malaysia berada di bawah pengawalseliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sekali gus memastikan setiap platform beroperasi mengikut piawaian dan garis panduan yang ditetapkan. 


Selaras dengan itu, pelaburan melalui platform seperti Funding Societies turut diiktiraf sebagai sah di sisi undang-undang, memberikan keyakinan tambahan kepada pelabur dan PKS yang menggunakannya.

 

Pengasas Faco Pastry, Amirah Hannan Omran, 32, berkata cabaran terbesar bagi perniagaan kecil untuk terus utuh adalah memastikan aliran tunai sentiasa konsisten, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos bahan mentah dan corak jualan yang kerap berubah-ubah.

 

Justeru, kata beliau, sokongan pembiayaan P2P menjadi pemangkin penting kepada kejayaan Faco Pastry kerana ia membantu menyediakan modal kerja yang terjamin serta tepat pada waktu ketika perniagaannya berada dalam fasa pertumbuhan.

 

“Dalam industri pastri, bahan mentah perlu dibeli dalam keadaan segar, margin pula tidak terlalu besar. Jadi kami perlu merancang pembelian dengan teliti supaya kapasiti pengeluaran tidak terjejas.

 

“Selain itu, ketidakseimbangan dalam kitaran tunai turut menjadi halangan, kerana walaupun jualan diterima setiap hari, pembayaran kepada pembekal terutamanya bagi bahan premium perlu dibuat lebih awal.

 

“Keadaan ini memerlukan saya mengurus modal kerja dengan sangat disiplin, termasuk memantau stok, mengawal kos dan memastikan setiap produk yang dikeluarkan memberikan pulangan yang positif,” katanya.


Sebahagian dana pembiayaan Funding Societies digunakan untuk membeli bahan mentah bagi operasi trak makanan pada fasa awal pembukaan perkhidmatan Faco Pastry

 

Beliau berkata, sebagai perniagaan yang sedang berkembang, pihaknya juga perlu melabur semula dalam peralatan, pembungkusan, dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk baharu.

 

“Walaupun operasi berskala kecil memberi kami fleksibiliti, ia juga bermaksud setiap keputusan kewangan perlu dibuat dengan sangat strategik agar tidak memberi tekanan kepada aliran tunai,” katanya.


Menurut Amirah, Faco Pastry mula mengenali pembiayaan P2P melalui segmen di Bengkel Nasihat Perniagaan anjuran Credit Guarantee Corporation (CGC), yang memperkenalkan mereka kepada platform Funding Societies.


Lagi cepat, fleksibel dan relevan berbanding pembiayaan tradisional


Katanya, pembiayaan P2P menjadi pilihan kerana prosesnya lebih cepat dan fleksibel, selain tidak membebankan perniagaan kecil yang memerlukan akses modal kerja segera.


Menurut beliau, prosesnya tidak seberat pembiayaan tradisional malah tiada keperluan cagaran tinggi serta lebih selari dengan keperluan aliran tunai harian mereka.


“Semua permohonan dan dokumen boleh dihantar secara digital tanpa mengganggu operasi harian. 


Faco Pastry berpeluang tingkat kapasiti pengeluaran dan operasi selepas menerima pembiayaan daripada Funding Societies 



“Kelulusan yang lebih pantas membolehkan saya merancang pembelian bahan mentah serta mengatur jadual produksi dengan lebih teratur.


“Proses P2P secara atas talian memberi saya ruang untuk fokus pada pengeluaran dan jualan, bukannya atas kertas kerja,” katanya.


Modal kerja stabil pacu peningkatan kapasiti dan jualan


Amirah berkata, antara perubahan paling ketara selepas menerima pembiayaan P2P ialah aliran tunai menjadi lebih stabil, membolehkan Faco Pastry meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengukuhkan operasi.


Menurutnya, pembiayaan tersebut turut digunakan untuk pelaburan peralatan penting, termasuk membeli ketuhar perolakan (convection oven) yang meningkatkan kapasiti pembuatan kek dan produktiviti harian.


Selain itu, kata beliau, dana berkenaan digunakan untuk membeli bahan mentah bagi operasi trak makanan pada fasa awal pembukaan perkhidmatan tersebut.


“Sebahagian besar modal digunakan untuk membeli ketuhar perolakan, peralatan penting untuk pengeluaran pastri. 


Sebahagian duit pembiayaan digunakan untuk membeli alatan pastri yang boleh meningkatkan produktiviti perniagaan seperti ketuhar perolakan


“Dengan ketuhar tersebut, kapasiti membakar meningkat dengan ketara dan saya dapat menghasilkan lebih banyak pastri dalam masa yang singkat, sekali gus meningkatkan produktiviti harian.


“Selain itu, sebahagian daripada pembiayaan juga digunakan untuk membeli bahan mentah pada fasa awal pembukaan operasi trak makanan.


“Dua pelaburan ini secara langsung memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi secara konsisten,” katanya.


Pengiktirafan industri hasil operasi yang lebih stabil


Dengan operasi lebih lancar hasil sokongan modal kerja, Faco Pastry berjaya mencatat beberapa pencapaian membanggakan, termasuk memenangi kategori The Best Trendy Cake anjuran Green House Flavors dan menyertai pameran Food and Hospitality Malaysia 2025.


Amirah turut mendedahkan bahawa Faco Pastry kini menerima lebih banyak projek bernilai tinggi, termasuk tempahan pencuci mulut meja untuk VIP, berikutan reputasi yang semakin kukuh.


Rancangan pengembangan operasi jangka panjang


Faco Pastry berjaya mencatat beberapa pencapaian membanggakan, termasuk memenangi kategori The Best Trendy Cake anjuran Green House Flavors



Amirah berkata, pembiayaan tambahan menerusi P2P akan dipertimbangkan berdasarkan fasa pertumbuhan perniagaan pada masa depan.


Katanya, Faco Pastry menyasarkan pertumbuhan melalui tiga teras utama:

  1. Pembukaan baking studio di Kota Tinggi untuk meningkatkan kapasiti.

  2. Pengembangan produk premium dan artisanal.

  3. Eksplorasi pasaran luar negara secara berperingkat.

Nasihat kepada PKS lain


Mengulas mengenai penggunaan pembiayaan P2P, Amirah menasihatkan PKS supaya jelas dalam perancangan modal kerja dan memberi keutamaan kepada penggunaan dana yang meningkatkan kapasiti serta pertumbuhan sebenar.


Katanya, P2P boleh menjadi alat yang sangat berguna tetapi keberkesanannya bergantung kepada perancangan yang teliti dan fokus pada penggunaan dana.


“Dengan disiplin kewangan dan perancangan teliti, P2P boleh menjadi pemangkin pertumbuhan tanpa membebankan perniagaan,” katanya.





Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

25 Nov 2025

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:41

mosque
imsak

Imsak

05:41:00

fajr

Fajr

05:51:00

syuruk

Syuruk

07:01:00

dhuhr

Dhuhr

13:03:00

asr

Asr

16:25:00

maghrib

Maghrib

19:01:00

isha

Isha

20:14:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase